Bunga Falling

Sunday, October 23, 2011

Antara Salah Laku Anak dan Hukuman


“Siapa pecahkan pinggan ini?” si ibu menjerit.
Anak-anaknya yang berderet itu membatukan diri.
Mustahil ada yang mahu mengaku.
“Siapa buat? Kak Long? Angah? Siapa yang buat?” si ibu yang sedia letih itu melempiaskan amarahnya.
Kak Long, Angah, Achik, semua mereka mendiamkan diri. Jantung masing-masing berdegup kencang.
Ibu yang keletihan mencari pesalah, akhirnya mengambil jalan mudah. Ketiga-tiga anaknya dihukum. Mereka dicubit seorang demi seorang.
“Yang bersalah tidak mengaku. Yang tahu siapa yang bersalah bersubahat tidak mahu memberitahu. Semua salah!” ibu cuba melogikkan tindakannya menghukum mereka bertiga.
JERITAN BIASA

Jeritan itu adalah jeritan yang biasa kita dengar di rumah.
Mungkin rumah orang, mungkin rumah kita.
Apabila berlaku sahaja sesuatu yang tidak kena, soalan yang spontan keluar, “siapa yang bersalah?”
Soalan seperti ini melayangkan mesej yang jelas bahawa ia akan berakhir dengan hukuman. Sama ada kesemua mereka mengambil tindakan mendiamkan diri, atau mereka mungkin segera saling menunding jari. Kita sebagai ibu bapa yang terkeliru, enggan malu kerana gagal menyelesaikan puzzle itu, lalu mengambil jalan mudah menghukum mereka semua.
Kebijaksanaan kita sebagai orang dewasa, menerbitkan pelbagai alasan untuk menjustifikasikan keadaan.
Namun tahap pemikiran anak-anak hanya berakhir dengan kesimpulan-kesimpulan yang membinasakan.
Mereka saling bermusuhan, saling salah menyalahkan, malah belajar menipu kerana terdesak mengendalikan rasa takut yang berlaku.
CIKGU JATUH


Puan Maria adalah guru senior di sebuah sekolah.
Orangnya berhemah. Tidak pernah menjatuhkan harga diri.
Tetapi hari itu dia tergelincir dan jatuh terlentang di depan kelas.
Sakitnya bukan kepalang.
Tetapi sakit hatinya berganda-ganda lagi apabila murid-murid mentertawakan dia.
Puan Sabariah bangun perlahan-lahan dan kemudian berdiri tegak membetulkan diri.
“Itu pelajaran pertama saya kepada awak hari ini. Sesiapa sahaja dalam hidup ini boleh jatuh dalam kehinaan, tetapi dia mampu bangkit dan berdiri teguh semula!” katanya dengan penuh hemah dan ketegasan.
Kelas sepi.
Ulasan itu sangat berhikmah.
Puan Sabariah menunjukkan betapa ketawa anak muridnya tidak mampu dibersihkan dengan tengkingan atau kemarahan. Sebaliknya dengan sedikit kesabaran, dia membetulkan keadaan dengan kebijaksanaan. Dengan hikmah.
Hikmah yang kita perlukan sebagai ibu dan bapa dalam mendidik anak-anak.


No comments:

Post a Comment